Header Ads

MEAD JOHNSON MALAYSIA TARIK BALIK PRODUK SUSU ENFALAC A+ STEP 1 INFANT FORMULA DI SELURUH NEGARA

KONGSI INFO : Mead Johnson Malaysia telah meminta pelanggan dan peruncit produk susunya di seluruh negara supaya memulangkan semula susu tepung berkenaan menerusi program penggantian. Hal ini berikutan dengan laporan tentang tepung susu tiruan pada awal bulan ini, yang menyebabkan pihak Mead Johnson Nutrition Malaysia (MJN) telah memulakan Program Penggantian Produk. 


Menerusi program tersebut, syarikat itu telah menasihatkan agar pihak pelanggan dan peruncit di seluruh negera untuk memulangkan semula susu Enfalac A+ Step 1 Infant Formula di dalam kotak 1.8 kilogram secepat mungkin. Tambah MJN lagi, program penggantian sedang dijalankan berdasarkan penyiasatan terhadap produk palsu di segelintir kedai runcit di Johor Bharu.


“Matlamat program itu adalah untuk menyingkirkan mana-mana karton tiruan daripada pasaran dan membolehkan pengguna memastikan mereka hanya mempunyai produk MJN tulen, berkualiti tinggi, dan selamat untuk digunakan”, jelas syarikat itu menerusi kenyataannya pada 16 Disember.

Syarikat berkenaan juga telah melancarkan talian khas untuk penggantian produk pada Jumaat lalu, lengkap dengan panduan mudah untuk verifikasi produk. Dikatakan bahawa kesihatan dan keselamatan bayi merupakan keutamaan utama syarikat berkenaan dan mereka sangat mementingkan kepercayaan yang telah diberikan orang ramai.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab tersebut telah menimbulan kerisauan dan ketidakpastian di dalam pasaran. Hal ini kerana, susu tiruan berkenaan tidak dapat dikenalpasti jika tidak membuka kotaknya. Kebimbangan pengguna hanya boleh ditangani dan diselesaikan sepenuhnya melalui Program Penggantian Produk ini”, jelas syarikat ini.

Pelanggan boleh menelefon 1-800-88-3585 daripada 9 pagi hingga 11 malam (Isnin hingga Ahad) ataupun mengisi borang dalam talian untuk program penggantian tersebut. Produk tersebut akan digantikan tidak kiralah ianya belum atau telah dibuka. Pihak MJN juga telah berjanji akan mengumpulkan semula semua stok yang telah berada di pasaran dan menukarkannya.

Selain itu, syarikat berkenaan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencari dan membawa individu yang tidak bertanggungjawab mengedarkan susu tiruan itu ke muka pengadilan. Mereka turut memberi amaran bahawa mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan alat dan sumber yang sesuai bagi membawa pesalah itu ke muka pengadilan kerana ianya jelas bahawa para pelaku tidak mempedulikan implikasi terhadap tindakan mereka.

No comments